Tauliah Rawatan Alternatif

Tauliah Rawatan Alternatif

Oleh: Sdr ROKIMAN SHAH BIN HARON

Comments Off

RAWATAN REFLEKSOLOGI & AKUPUNCHUR


.

TUGAS rutin yang bertimbun di pejabat biasanya boleh memberikan tekanan kepada pekerja. Apabila terlalu tekun menyiapkan tugas, tubuh dan minda menjadi cepat letih sehingga boleh mengganggu keceriaan pada hari itu.

Selain memerlukan banyak berehat, proses urutan sedikit sebanyak dapat melegakan kesakitan dan sengal pada sendi.

Tidak hairanlah urut refleksologi, yang bermaksud terapi pengurutan tapak kaki untuk merangsang dan mengesan penyakit berpunca daripada urat saraf, kian mendapat tempat di kalangan mereka yang benar-benar menghargai kesihatan.

Melaluinya, ia bukan sahaja dapat membantu membenarkan badan melakukan penyembuhan sendiri, tetapi turut melancarkan perjalanan darah, menghilangkan lenguh serta melegakan tekanan.

Lazimnya, apabila bercakap mengenai refleksologi ia tidak akan lagi daripada membicarakan tentang terapi akupuntur kerana kedua-dua rawatan ini saling berkait rapat.

Kedua-duanya adalah kaedah rawatan tradisional Cina yang telah wujud sejak zaman berzaman lagi.

Pakar Terapi Akupuntur di Xue Lian Chinese Physician dan Penjagaan Kesihatan Sdn. Bhd., Wang Xue Lian berkata, kesakitan pada otot badan mungkin wujud kerana teknik kerja yang salah atau jenis pekerjaan yang mendedahkan mereka kepada keadaan tidak selesa.

Oleh sebab refleksologi adalah seni pemulihan semula jadi yang berasaskan kepada prinsip asas iaitu tangan, kaki dan telinga, ia dipercayai ada kaitan dan memberi gerak balas terhadap seluruh anggota, kelenjar dan organ badan.

‘‘Apabila memberi tekanan kepada titik refleks dan urutan ini akan meredakan ketegangan serta memperbaiki peredaran yang sebelum ini tidak berfungsi dengan baik.

‘‘Rawatan ini baik untuk pengaliran darah ke seluruh badan bermula dari tapak kaki kerana kawasan itu mewakili atau merangkumi seluruh anggota badan.

Ia bukan sahaja dapat melegakan ketegangan, tetapi juga melancarkan pengaliran darah serta menghilangkan lenguh dan sakit otot,’’ ujarnya.

Menerangkan tentang prosedur ketika rawatan, kata Xue Lian, pakar terapi akan menyentuh refleksi pada tapak kaki pelanggan bagi mencari dan memulihkan urat saraf bermasalah.

Pakar terapi refleksologi juga mampu boleh mengesan pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis, usus, buah pinggang, migrain dan sukar tidur.

“Jika pelanggan memberitahu jenis penyakit dihidapi, pakar akan mencari titik tertentu di tapak kaki untuk memberi rawatan dan seterusnya menyarankan mereka menjalankan rawatan akupuntur,’’ ujarnya.

Sebagai contoh, jika pesakit mengalami sakit tengkuk, pakar akan merawat refleks tengkuk yang terletak di pangkal ibu jari dan bukan menggosok tengkuk yang sakit.

Prinsip urutan refleksologi adalah mengelak daripada menyentuh tempat yang sakit supaya ia tidak menjadi lebih teruk.

Xue Lian turut memberitahu, ketika mengurut keseimbangan memainkan peranan penting. Oleh sebab itu kedua-dua telapak kaki akan diurut bagi melancarkan pengaliran darah.

Menerangkan secara ringkas mengenai rawatan akupuntur pula, beliau berkata, ia bukan sahaja berfungsi untuk merawat, sebaliknya ia mengejutkan deria yang sebelum ini ‘tertidur’ untuk bekerja seperti biasa, seterusnya mengembalikan kesihatan tubuh seperti sediakala.

Ditanya bagaimana jarum halus berfungsi mengurangkan kesakitan, katanya, dalam perubatan Cina, ketidakseimbangan aliran tenaga yang dikenali sebagai ‘qi’ (disebut chi), akan menyebabkan masalah kesihatan.

Qi ini dipercayai mengalir dalam badan melalui laluan tertentu yang boleh ditembusi pada 400 titik akupuntur.

‘‘Dengan memasukkan jarum halus pada titik berkenaan, pengamal akupuntur percaya ia boleh menyeimbangkan semula tenaga tadi dan membolehkan mekanisme pemulihan badan secara semula jadi.

‘‘Biasanya rawatan akupuntur memerlukan beberapa sesi iaitu antara 10 hingga 12 sesi. Namun, ia juga bergantung kepada beberapa faktor termasuk jenis dan tahap masalah setiap pesakit serta tindak balas badan pesakit terhadap rawatan akupuntur,” terangnya.

Menurut Xue Lian, bilangan jarum tidak boleh dijadikan sebagai pengukur keberkesanannya kerana ia sebenarnya bergantung kepada tindak balas badan terhadap rawatan.

Katanya, ada orang memang dilahirkan mempunyai tindak balas badan cepat dan bagi individu begini, mereka lebih cepat sembuh berbanding orang lain.

Beliau berkata, penggunaan akupuntur mungkin boleh melegakan kesakitan dialami tetapi jika puncanya tidak ditangani, masalah sama akan berulang.

Contohnya bagi pesakit lumpuh separuh badan dan pundi kencingnya tidak berfungsi, pengamal perubatan mungkin boleh menggunakan akupuntur sebagai satu cara memulihkan fungsi pundi kencing.

Pundi kencing boleh kembali berfungsi seperti asal jika jarum dicucuk pada titik betul.

Oleh kerana itu katanya, sebelum pelanggan menjalani rawatan akupuntur, pelanggan perlu menjalani ujian mengenalpasti tahap kesihatan, sebelum menjalani rawatan akupuntur.

Katanya, tujuan jarum ini dicucuk ialah untuk menghidupkan sel dalam badan dan membuang toksik dengan menggunakan rangsangan elektrik.

Sementara itu, koordinator di pusat tersebut, Ng Shin Cheong berkata, selain mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan, para terapi akupuntur di pusat tersebut juga terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan berkelulusan dari Kolej Perubatan Henan Chinese, China.

Katanya, apa yang membezakan refleksologi dan rawatan akupuntur dengan rawatan lain, ia merupakan kaedah penjagaan kesihatan yang tidak menggunakan sebarang ubat dan tidak sakit.

Apa yang anda perlu tahu tentang refleksologi

* Berdasarkan sejarah, rawatan refleksologi berasal dari Mesir sebelum disebarkan ke seluruh dunia, terutama China, sejak 5,000 tahun dahulu.

* Ia boleh meredakan tekanan sama ada disebabkan kerja, masalah peribadi mahupun persekitaran.

* Refleksologi berasaskan kepercayaan setiap bahagian kaki adalah cermin kepada anggota badan (kaki kiri untuk anggota belah kiri dan kaki kanan pula menggambarkan anggota kanan badan).

* Walaupun refleksologi sesuai untuk semua peringkat umur dan kesihatan, tetapi jika mengalami masalah darah beku atau luka pada tapak kaki, anda disaran mendapatkan rawatan moden untuk mengatasinya terlebih dulu.

* Berusia ratusan tahun yang lalu, rawatan alternatif akupuntur amat terkenal kerana kemujaraban merawat penyakit.

* Akupuntur berasal daripada perkataan Greece, iaitu acus (jarum) dan puncture bermakna cucuk.

* Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari 2002 sehingga 2005 mendapati, populariti akupuntur sebagai rawatan pelengkap semakin meningkat.

* Walaupun tiada data mengenai penggunaan akupuntur di Malaysia, tetapi ia juga dilihat semakin popular, malah turut diperkenalkan di hospital kerajaan dan swasta bagi melengkapkan lagi rawatan.

* Mereka yang menjalani rawatan akupuntur juga dinasihatkan berpantang, termasuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Comments are closed.